Terima kasih, Tuan Pengerusi
Majlis. Yang Arif lagi bijaksana, panel penilai dan rakan-rakan yang dihormati.
Assalamualaikum dan selamat pagi.
Tajuk pidato yang menjadi pilihan
saya pada pagi ini ialah “Ke Arah Memupuk Minat Membaca dalam Kalangan Masyarakat.
Remaja hari ini merupakan pemimpin masa depan, maka usaha-usaha untuk memupuk
budaya membaca dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan oleh semua pihak.
Jadi, tuan-tuan dan puan-puan, pada hari ini saya ingin mencadangkan beberapa
langkah yang perlu dilakukan oleh semua pihak untuk memupuk budaya membaca
dalam masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pada pendapat saya, pihak kerajaan
perlu lebih agresif dalam menyemai budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Sebelum ini, banyak usaha dijalankan namun tahap pembacaan masyarakat masih
rendah. Malahan, , Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada
tahun lepas, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai “Negara Pembaca” perlulah
disambut baik oleh semua pihak. “Negara Pembaca” yang dihasratkan ialah negara
yang bukan sahaja memiliki rakyat yang suka membaca dan berasaskan ilmu
pengetahuan, malahan diharapkan agar rakyat mempunyai kemampuan berterusan
untuk belajar, membuat penyelidikan dan melakukan penemuan baru. Tuan-tuan dan
puan-puan, dengan terealisasinya hasrat ini, maka terealisasilah juga “Dasar
Buku Negara” yang berhasrat untuk menjadikan masyarakat Malaysia, bukan sahaja
suka membaca malah berupaya untuk menghasilkan dan menerbitkan banyak buku yang
sesuai dan berkualiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Selain dasar dan polisi kerajaan,
prasarana yang sesuai dan mesra pengguna hendaklah dibangunkan. Kerajaan boleh
membangunkan perpustakaan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai dan mudah
dikunjungi. Selain itu, perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak juga perlu
diperbanyak supaya gerakan ini dapat sampai ke seluruh ceruk rantau. Selain
kerajaan, pihak swasta dan orang persendirian juga boleh membangunkan
perpustakaan. Pembinaan prasarana yang banyak
dan meluas, membantu masyarakat kita membudayakan membaca.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pihak swasta juga perlu memainkan
peranan untuk memupuk masyarakat membaca. Selain syarikat penerbitan
menerbitkan banyak judul menarik dan mengusahakan penterjemahan buku-buku yang
berkualiti dari negara, media massa turut memainkan peranan yang penting.
Program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti
TV, radio, Internet dan juga usaha sama dengan beberapa buah kedai buku. Jika
semua pihak swasta menggembleng tenaga, saya yakin dan percaya, di samping
mendapat keuntungan, akan terlunaslah satu daripada tanggungjawab sosial mereka
kepada negara iaitu memupuk budaya membaca. Inilah yang dikatakan situasi
menang-menang, tuan-tuan dan puan-puan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Masyarakat kita bukannya tidak
mempunyai wang, mereka ada wang. Hampir setiap rumah, mempunyai radio dan
televisyen, malah melanggan Astro. Bagi yang berkemampuan sedikit, mereka tidak
lokek untuk berbelanja bagi memiliki produk penjagaan diri dan kesihatan, dan
sebagainya. Cuma mereka tidak terbudaya untuk memperuntukkan sejumlah wang bagi
membeli buku. Oleh itu, suatu gerakan besar-besaran perlulah dilakukan supaya,
masyarakat kita, terbudaya untuk merancang perbelanjaan dengan lebih bijak
dengan memperuntukkan sejumlah wang untuk pembelian buku. Diharapkan dengan
cara ini, kita akan dapat melahirkan masyarakat yang walaupun tidak kaya tetapi
berminda kelas pertama. Sebenarnya, inilah modalnya untuk kita menjadi negara
yang maju dan kaya menjelang tahun 2020
Tuan-tuan dan puan-puan,
Akhirnya, ialah peranan ibu bapa.
Bagaimana acuan begitulah kuihnya manakala melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Oleh itu, penyuburan sikap suka membaca perlu dipupuk sejak kecil
lagi. Sebelum kanak-kanak boleh membaca, seharusnya mereka sudah dibiasakan
dengan buku sama ada memegang, melihat atau menikmati buku secara bercerita.
Berdasarkan kajian, 80 hingga 88% ibu bapa dapat mempengaruhi anak-anak untuk
membaca. Ibu bapa bukan sahaja menjadi penggalak, malah perlu menjadi suri
teladan. Mereka mestilah terlebih dahulu menunjukkan teladan yang baik dengan
mengamalkan tabiat membaca. Sebagai permulaan, anak-anak boleh dibacakan “bed
time story” sebelum mereka tidur. Apabila usia bertambah, belikan buku-buku
cerita yang menarik dan berwarna-warni untuk menarik perhatian mereka.
Menjelang usia remaja pula, ajaklah anak-anak berbincang tentang bahan bacaan
yang dibaca oleh mereka atau yang dibaca oleh ibu bapa. Jika ini dilaksanakan,
saya yakin dan percaya, anak-anak ini akan terus menghargai buku dan ilmu
seterusnya merealisasikan gagasan pembelajaran sepanjang hayat. Keadaan ini
sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada hasrat negara untuk mewujudkan
masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggegarkan dunia dengan tahap
keilmuan yang tinggi.
Tuan-tuan dan puan-puan.
Jika tidak disemaikan budaya
membaca dalam kalangan masyarakat kita, kita akan ketinggalan dan menjadi
masyarakat seperti katak di bawah tempurung. Marilah sama-sama kita menyemai
budaya membaca supaya cabaran Wawasan 2020 yang ke-6 iaitu ”mewujudkan
masyarakat yang maju dan progresif..” bukan fatamorgana semata-mata.
Sekian, terima kasih.