TAJUK DRAMA : SINGAPURA DILANGGAR TODAK
Pengenalan
Drama
ini mengisahkan tentang sebuah pulau yang dijadikan negeri yang dikenali
sebagai Singapura. Negeri tersebut telah diperintah oleh seorang raja. Pada
suatu hari negeri Singapura telah diserang oleh ikan todak. Seorang kanak-kanak
telah memberikan idea untuk mempertahankan negeri Singapura dengan menggunakan
batang pisang sebagai benteng pertahanan.
Serangan
ikan todak itu dapat dipatahkan. Bendahara yang berasa iri hati dengan
kanak-kanak tersebut telah memfitnahnya dan menghasut sultan. Baginda sultan
yang termakan hasutan itu telah memerintahkan kanak-kanak itu diikat dan
direndam ke dalam air laut.
Kisah
ini berakhir dengan rasa penyesalan sultan. Baginda kemudiannya turun daripada
tahta kerajaan dan melantik anakanda baginda sebagai pengganti. Bagaimanapun
Singapura kemudiannya jatuh ke tangan Majapahit.
PENTAS
Pentas
dihiasi dengan suasana istana zaman dahulu dan kawasan pantai di mana hukuman
dijalankan.
Pandangan
laut tempat nelayan menjalankan tugas sebagai nelayan dan diserang oleh ikan
todak.
Kawasan
perkampungan turut dipaparkan untuk melahirkan suasana yang berbeza-beza.
WATAK
Watak utama :
Paduka Seri Maharaja
Watak pembantu :
Bendahara
Hang Nadim
Ibu Hang Nadim
Ayah Hang Nadim
Watak sampingan :
Hulubalang dan penduduk kampung
BABAK PERTAMA
Paduka Seri Maharaja yang merupakan pemerintah
Singapura pada ketika itu menggantikan ayahandanya , Seri Rana Wira Kerma yang
mangkat.
Pada suatu hari, rakyat Singapura menjadi gempar.
Seorang nelayan di laut Singapura telah mati akibat diserang seekor ikan todak
yang besar.
Semenjak peristiwa itu, para nelayan berasa takut
untuk turun ke laut. Mereka takut diserang oleh ikan todak. Akhirnya berita itu
tersebar hingga ke istana raja.
Bendahara :
Ampun tuanku, patik meminta ampun sekiranya kedatangan patik mengganggu tuanku sedang beristirahat.
( Menundukkan mukanya)
Paduka Seri Maharaja : Tidak mengapa mamanda. Ada perkara pentingkah yang mamanda ingin sampaikan sehingga menghadap beta? (Suara yang lantang dan memandang ke arah Bendahara)
Bendahara :
Ampun tuanku, memang ada perkara penting yang patik hendak sampaikan. Patik mendapat khabar
berita bahawa negeri kita ini telah dilanda
ikan todak yang amat bahaya sekali, tuanku. Ampun
tuanku.
(Sembah Bendahara yang berada di hadapan Paduka Seri Maharaja)
Paduka Seri Maharaja : Benarkah apa yang mamanda katakan ini? (Suara yang terkejut dan memandang ke arah
bendahara)
Bendahara :
Benar, tuanku, para nelayan menjadi takut akibat serangan ikan
todak itu. Malah mereka sudah tidak turun ke laut lagi.( Terang Bendahara dengan
suara yang tegas)
Paduka Seri Maharaja : Emmm..... Bendahara. ( Memandang ke arah Bendahara dengan dahi yang berkerut )
Bendahara :
Tuanku. ( Memandang ke arah Paduka Seri Maharaja )
Paduka Seri Maharaja : Beta mahu mamanda beritahu pembesar istana untuk mengadakan mesyuarat. ( Suara yang
tegas )
Bendahara :
Patik akan laksanakannya tuanku. Patik minta diri dahulu tuanku.
Ampun tuanku. ( Sembah Bendahara dan dengan perlahan berjalan meninggalkan
bilik istirehat Paduka Seri Maharaja )
BABAK KEDUA
Di
istana suatu mesyuarat telah dijalankan. Paduka Seri Maharaja tidak percaya
dengan cerita-cerita yang disampaikan kepada baginda. Baginda sendiri membuat
keputusan untuk melihat ikan todak tersebut. Pada hari esoknya, berangkatlah
baginda ke pantai dengan menunggang gajah. Sekalian pembesar, hulubalang dan
rakyat jelata telah mengiringi baginda.
Sampai
sahaja di pantai, baginda terpaku melihat ikan todak itu. Baginda dengan segera
memanggil Bendahara.
Paduka Seri Maharaja : Bendahara, cuba terangkan pada beta. Bagaimana hendak menghalang ikan todak ini daripada
naik ke atas darat? (Suaranya yang perlahan dan pandangannya masih lagi tertumpu ke arah
pantai )
Bendahara :
Patik rasa kita kumpul para hulubalang dan menyuruh mereka berdiri di pesisiran pantai
supaya ikan todak itu tidak naik ke atas darat,
tuanku. ( Bendahara cuba memberikan pendapatnya untuk menghalang ikan todak itu )
Paduka Seri Maharaja : Jalankan segera rancangan itu. ( Titah baginda dan memandang ke arah pantai )
Bendahara :
Wahai sekalian hulubalang! Segera kamu ke pantai, pertahankan serangan todak itu.... ( Teriak Bendahara yang masih lagi berdiri di sebelah Paduka Seri Maharaja )
Apabila
mendengar perintah itu, sekalian hulubalang pun segera menuju ke pantai untuk
menahan serangan ikan todak itu naik ke atas darat. Mereka membunuh ikan todak
itu dengan menggunakan senjata tombak. Setiap kali ikan todak naik ke atas pasti akan dibunuh dengan
senjata itu.
Tidak
lama kemudian, serangan ikan todak itu bertambah banyak. Kedatangan ikan todak
itu bagai anak panah dilepaskan dari buluh renggangan tali. Ramai hulubalang
bertahan menangkis serangan todak itu tetapi tidak dapat menyelamatkan diri
mereka. Ada
yang terkena pada perut dan ada yang terkena pada dada. Setengah hulubalang
dapat menyelamatkan diri mereka apabila mereka melihat terlalu banyak ikan
todak telah naik ke darat dengan melalui ombak yang kuat.
Hulubalang :
Ampun tuanku, patik sekalian tidak dapat berdiri di pesisiran pantai
terlalu lama kerana ikan todak sudah mula mengganas, tuanku. ( Suara yang tercungap-cungap )
Paduka Seri Maharaja : Apa perlu beta lakukan untuk menghalang serangan ikan todak ini? ( Suara yang perlahan dan mengeluh apabila melihat hulubalangnya telah banyak terkorban akibat serangan ikan todak itu )
Hang Nadim :
Ampun tuanku, patik pacal yang hina ini ada cadangan untuk tuanku. Itu pun jikalau tuanku
sudi mendengarnya. ( Sembah seorang budak dengan suara yang perlahan )
Paduka Seri Maharaja : Boleh beta tahu siapa nama kamu? ( Suara yang terkejut sambil memandang ke arah Hang Nadim
)
Hang Nadim :
Patik bernama Hang Nadim, anak kepada seorang nelayan di dalam kampung ini. Ampun tuanku.
(Terang Hang Nadim dengan sopan sekali )
Paduka Seri Maharaja : Cadangan apakah yang kamu maksudkan itu?
( Soal baginda sambil memandang Hang Nadim
)
Hang Nadim :
Begini tuanku, Patik cadangkan kita buat satu halangan di pesisiran pantai ini dengan
meletakkan beberapa batang pisang. Apabila ikan todak
itu naik ke atas darat, sudah pasti ikan todak akan
melekat pada batang pisang itu. Ampun tuanku. ( Suara
yang perlahan melemparkan senyum ke arah baginda )
Paduka
Seri Maharaja hanya mendiamkan diri dan berfikir sejenak sambil memandang ke
arah Hang Nadim.
Paduka Seri Maharaja : Benar katamu! ( Puji baginda dengan suara yang lantang dan melemparkan senyuman ke arah Hang
Nadim )
Bendahara :
Ampun tuanku. Tapi tuanku, bagaimana kalau tidak berjaya. ( Suara yang lantang dan terus
berdiri di sebelah baginda )
Paduka Seri Maharaja : Memanda, beta rasa yakin dan percaya terhadap apa yang dicadangkan oleh budak cerdik ini. (
Suara gembira dan memandang ke arah Bendahara )
Bendahara :
Tapi tuanku....... ( Suara yang perlahan dan menundukkan mukanya )
Paduka Seri Maharaja : Jangan berlengah lagi mamanda. Beta mahu mamanda teruskan sahaja apa yang dicadangkan oleh Hang Nadim ini. ( Suaranya yang tegas )
Bendahara :
Baik, tuanku. ( Sembah Bendahara dan terus mengerah hulubalang yang lain melakukan apa yang dikatakan oleh Hang Nadim itu )
Setelah itu, para
hulubalang dan sekalian rakyat segera melaksanakan perintah baginda. Mereka
menebang batang pisang dan mencacakkannya di sepanjang pesisiran pantai.
Baginda melihat ikan todak berjongot panjang itu melompat ke darat. Maka
muncungnya yang tajam itu menikam dan melekat pada batang pisang tersebut. Ikan
todak tersebut habis mati. Sehingga waktu petang, orang ramai datang menetak
jongor muncung ikan todak itu dengan parang. Ikan todak itu kelihatan
bertimbun-timbun dilonggokkan sehingga tidak termakan banyaknya.
Paduka Seri Maharaja : Syabas! Hang Nadim, beta tidak menyangka bahawa kamu hanya seorang anak nelayan tetapi
akal kamu cukup bijak dan cerdik. Beta amat gembira. Bendahara, bawa Hang Nadim ke
istana. Beta berbesar hati hendak memberikan ganjaran
yang besar untuknya kerana telah
menyelamatkan negeri Singapura. ( Suaranya lantang dan melemparkan senyuman mesra ke arah Hang Nadim )
Bendahara :
Nampaknya tuanku lebih percayakan kata anak nelayan itu daripada aku. Tahulah bagaimana
aku hendak menghapuskan dia supaya dia tidak mendahului pengaruhku terhadap baginda. Biar senang rasa hatiku ini. ( Bisik Bendahara di
dalam hatinya dengan perasaan dendam berapi )
Baginda
amat gembira sekali dengan keadaan itu. Seorang budak kecil telah menyelamatkan
ramai hulubalang dan rakyat Singapura. Hang Nadim dibawa ke istana dan
diberikan pelbagai hadiah oleh baginda. Setelah Hang Nadim pulang meninggalkan
istana, Bendahara pun berdatang sembah.
Bendahara :
Ampun tuanku, pada penglihatan patik, budak itu sungguh besar
akalnya. Kecil-kecil lagi sudah begitu berani dan cerdik. Apabila besar kelak tentu
dia akan menjadi orang bijaksana. ( Suara yang perlahan dan tersenyum memandang ke arah baginda )
Paduka Seri Maharaja : Apakah maksud mamanda? ( Tanya baginda dengan suara yang terkejut )
Bendahara :
Patik rasa tuanku, kelak dia akan merampas kedudukan sekalian patik yang sudah tua-tua
ini dan budak kecil itu juga sudah tentu akan
mengambil tahta tuanku.... ( Hasut Bendahara apabila
melihat tuanku tidak membantah perangainya. Jerat
sudah hampir mengena. Fikirnya dalam hati )
Baginda
hanya mendiamkan diri dan berjalan-jalan mundar-mandir sambil memegang dagunya.
Sesekali baginda memandang ke arah Bendahara.
Bendahara :
Demikian itu pendapat patik sahaja tuanku. ( Suaranya perlahan dan merendah memandang ke arah baginda )
Hulubalang :
Benar apa yang dikatakan oleh Bendahara, tuanku. Patik amat risau sekali kalau-kalau budak
kecil itu akan merampas tahta tuanku, sudah pasti
putera tuanku akan disingkirkan dari dalam istana
ini.
( Celah hulubalang yang telah diupah oleh Bendahara )
Baginda termenung. Matanya liar memandang ke arah
Bendahara dan Hulubalang.
Paduka Seri Maharaja : Jikalau demikian itulah menurut ramalan mamanda, baiklah budak itu kita bunuh sahaja.
Perintahkan pengawal untuk ke rumah budak itu dan bawa
dia menghadap beta. ( Suaranya tegas dan terus
duduk di atas singgahsana )
Setelah
mendengar perintah baginda, bendahara dan hulubalang terus keluar dari istana
menuju ke rumah Hang Nadim. Apabila sampai sahaja di rumah Hang Nadim,
Bendahara mendapati Hang Nadim sedang bermain-main bersama rakan sebayanya.
Bendahara :
Wahai Hang Nadim. Mari sini... ( Suara yang tegas dan memandang ke
arah Hang Nadim )
Hang Nadim :
Datuk Bendahara memanggil hamba. ( Suara yang keriangan dan memandang ke arah Bendahara )
Bendahara :
Paduka Seri Maharaja Memanggil tuan hamba menghdap ke istana sekarang juga. ( Matanya memandang tepat ke wajah Hang Nadim )
Hang Nadim :
Mengapa Paduka Seri Maharaja memanggil hamba? Bukankah baharu sahaja menghadap baginda? ( Suara yang hairan dan memandang ke arah Bendahara )
Bendahara :
Itu bukan urusan hamba. Hamba hanya menjalakan perintah sahaja. Hulubalang... tangkap Hang
Nadim. ( Teriak Bendahara apabila melihat Hang Nadim
cuba berkata-kata lagi )
Hang Nadim :
Lepaskan hamba... Tolong! Tolong! ( Teriak Hang Nadim cuba untuk
melepaskan diri )
Teriakkan
Hang Nadim telah didengari oleh ibu dan ayahnya. Kedua-dua orang tua itu terus
berlari mendapatkan anak mereka yang telah ditangkap.
Ayah Hang Nadim :
Bendahara, mengapa Datuk hendak menangkap anak hamba ini? ( Suara yang merayu dan memandang ke arah Bendahara )
Bendahara :
Hamba hanya menjalankan perintah Paduka Seri Maharaja. ( Suaranya tegas memandang ke arah ayah Hang Nadim )
Ibu Hang Nadim : Wahai Datuk Bendahara, tolonglah
lepaskan anak hamba. Apakah salahnya ditangkap begini. (
Suara ibu sedih dan memeluk Hang Nadim )
Bendahara :
Ini perintah baginda raja. Jika kalian berdua tidak puas hati, sila
menghadap Paduka Seri Maharaja.
Hulubalang... bawa Hang Nadim ke istana. (
Suara yang tegas dan terus berjalan meninggalkan
ayah dan ibu Hang Nadim )
Hang Nadim meronta-ronta minta dilepaskan. Penduduk
kampung menjadi gempar. Mereka melihat sahaja dan tidak berani membuat sebarang
tindakan.
Penduduk kampung 1 :
Ke mana Bendahara hendak membawa Hang Nadim? ( Memandang ke arah kawannya )
Penduduk kampung 2 :
Entahlah.... tapi hamba dengar, Hang Nadim akan dihukum kerana
akalnya terlalu bijak dikhuatiri akan memusnahkan kedudukan Paduka Seri Maharaja.
Penduduk kampung 3 :
Kasihan Hang Nadim. Bijak atau tidak adalah kuasa tuhan. Bukan kehendak kita. Paduka Seri
Maharaja tidak tahu hendak menilai jasa Hang Nadim
yang besar telah menyelamatkan nyawa kita semua
dan negeri ini. ( Menggeleng-geleng kepada dan bersimpati terhadap nasib Hang Nadim )
BABAK KETIGA
Sampai
sahaja Hang Nadim, Bendahara dan Hulubalang ke istana, Hang Nadim dapat melihat
air muka Paduka Seri Maharaja yang masam dan tidak lagi mesra terhadapnya.
Hang Nadim :
Ampun tuanku. Sembah patik harap diampun. Bolehkah tuanku memberitahu patik. Apakah kesalahan patik sehingga kedua-dua tangan patik diikat dan dibawa ke mari untuk menghadap ke bawah
duli tuanku. ( Ratap Hang Nadim kesedihan )
Paduka Seri Maharaja : Beta mengarahkan tuan hamba ditangkap kerana beta tidak mahu tuan hamba merampas takhta
beta. Tuan hamba amat pintar pada usia yang muda begini. Apatah lagi jika tuan hamba sudah
dewasa nanti.
Hang Nadim :
Tapi tuanku... patik tidak pernah terlintas mahu berbuat begitu. Kecerdikan patik bukanlah
dengan kehendak diri sendiri, tetapi anugerah Tuhan.
( Suaranya merayu dan kesedihan )
Baginda terdiam seketika apabila mendengar jawapan
budak kecil itu. Bendahara segera menjalankan hasutannya. Jarum hasutan mula
memainkan peranannya bagi mencucuk minda sultan.
Bendahara :
Ampun tuanku. Mungkin sekarang ini tidak ada niat begitu. Apabila Hang Nadim sudah besar kelak,
dia akan menggunakan akalnya yang cerdik untuk menjatuhkan takhta tuanku.
Hang Nadim :
Percayalah tuanku. Patik bukan begitu. Tolonglah lepaskan patik. (
Suaranya sayu teresak-esak memandang raja meminta belas kasihan )
Tidak
lama kemudian, kedua-dua orang tua Hang Nadim tiba menghadap Paduka Seri
Maharaja dalam keadaan tercungap-cungap.
Ibu Hang Nadim :
Ampun tuanku. Sembah patik harap diampun. Patik yang hina ini mengharap sangat agar tuanku
dapat melepaskan anak patik ini. Hang Nadim masih kecil lagi. Dia tidak tahu tentang adat istiadat di
dalam istana ini. ( Suara kesedihan tertahan-tahan
)
Ayah Hang Nadim :
Benar tuanku. Biarlah patik sahaja yang menggantikan tempat Hang Nadim daripada dihukum kerana dia masih kecil lagi.
Paduka Seri Maharaja : Tidak! Perintah beta tidak dapat disanggah lagi. Mamanda, bawa kedua-dua orang tua ini keluar.
Jalankan hukuman atas budak ini segera. (
Suara tegas dan nada marah )
Hang Nadim :
Ibu.... Ayah... tolong lepaskan Nadim... ( Jeritan sayu )
Baginda
memerintahkan pengawal merantai kaki dan tangan Hang Nadim. Mereka membawa Hang
Nadim menuju ke tepi pantai. Kawan-kawan Hang Nadim dan penduduk kampung
berhimpun di tepi pantai. Mereka memandang Hang Nadim yang telah dirantai
dengan perasaan sedih dan terharu. Ramai orang yang mengalirkan air mata
melihat kejadian itu. Ibu bapanya merayu meminta belas kasihan Paduka Seri
Maharaja tetapi tidak dipedulikan.
Penduduk kampung 1 :
Malang sungguh nasib Hang Nadim. Sedikitpun tidak diendahkan oleh Paduka Seri Maharaja rayuan ibu bapa Nadim. Apalah bala
yang telah menimpa Singapura ini.
Penduduk kampung 2 :
Inilah yang dikata orang:
Carik baju raja,
Dilompati todak;
Bukan disengaja,
Sebab akal budak.
Paduka Seri Maharaja : Hulubalang... jalankan hukuman. Bawa Hang Nadim ke laut dan campakkan ke tengah laut. ( Suara
lantang memberi perintah )
Hulubalang
: Baik tuanku. ( Terus berjalan
mengheret Hang Nadim )
Hang
Nadim : Ibu… Ayah…
tolong… ( Suaranya sayup-sayup )
Teriakan
Hang Nadim membuatkan penduduk kampung berasa sedih dan menitiskan air mata.
Hulubalang pun membawa Hang Nadim dan mencacakkan kayu serta mengikat kaki dan
tangannya turut dirantai. Air laut mula pasang. Ombak bergelora dengan kuat.
Hang Nadim mati lemas akibat tenggelam di dalam air laut. Ramai orang
mengalirkan air mata menyaksiakan hukuman yang zalim. Mereka mengerumuni mayat
Hang Nadim yang terapung. Ibu bapanya pengsan melihat mayat anak mereka.
Paduka
Seri Maharaja dan pembesar negeri tersenyum puas hati. Mereka tidak perlu risau
lagi kerana budak yang pintar dan dikhuatiri menjejaskan kuasa mereka telah
mati. Semenjak kejadian itu, orang kampung telah menggunakan serangkap pantun
untuk mengingati jasa Hang Nadim.
Carik baju raja,
Dilompati todak;
Bukan disengaja,
Sebab akal budak.
Pantun
itu telah tersebar di istana sehingga tuanku tidak senang duduk. Semenjak itu,
Paduka Seri Maharaja terlalu sedih akan perbuatannya yang mengikut telunjuk dan
hasutan Bendahara. Bendahara dan Hulubalang juga menjadi bimbang, takut
kalau-kalau bencana besar akan menimpa Singapura sekali lagi. Paduka Seri
Maharaja juga ingin turun tahta dan mahu melantik putera baginda menggantikan
tempatnya. Tidak lama kemudian Singapura telah diserang dan jatuh ke tangan
Majapahit.
( Tirai dilabuhkan )
Kesimpulan
Perisriwa lagenda Singapura Di Langgar Todak
mengandungi unsur pendidikan. Kisah ini tergambar nilai kecerdikan dan
tanggungjawab seorang kanak-kanak terhadap bangsa dan negaranya untuk
keselamatan bersama.
Cerita ini juga mencerminkan perasaan cemburu yang
berlebihan, hasad dengki dan gila kuasa yang keterlaluan hingga mengorbankan
orang lain yang tidak berdosa. Satu sikap yang tidak wajar diteladani.
Pemikiran, perkataan, perbuatan
pemerintah yang sepatutnya melindungi rakyat namun sebaliknya bersikap kejam,
mementingkan diri sendiri dan menjatuhkan hukuman yang drasti tanpa belas
kasihan dotonjolkan dengan jelas.