Wednesday 1 August 2012

Kritikan Sastera


PENDAHULUAN
           Takrif atau definisi kritikan sastera yang dipegang oleh setiap pengkritik sastera adalah berbeza-beza. Umpamanya, Hashim Awang dalam bukunya Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan, 1997 mentakrifkan kritikan kesusasteraan itu merupakan suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan atau penulis sastera dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah.[1] Beliau juga mengatakan bahawa takrif bagi kritikan sastera itu ialah suatu kegiatan untuk membuat penilaian, pertimbangan dan penganalisisan terhadap sesebuah karya sastera.
  
Fungsi dan Jenis-Jenis Kritikan Sastera
          Sememangnya kegiatan kritikan kesusasteraan itu memiliki tujuan, peranan, objektif serta fungsi yang tersendiri. Antara fungsi-fungsinya ialah pertama, kritikan sastera sebagai penyumbang pengetahuan dan seterusnya mengembangkan pengetahuan itu. Kedua, kritikan sastera itu memberikan bantuan besar kepada pembaca menikmati karya sastera dengan menerangkan tentang karya sastera dan pengarangnya dengan jelas. Ketiga, kegiatan kritikan sastera boleh memperlihatkan antara karya sastera yang baik dan kurang baik.[2]
          Antara lain fungsi kegiatan kritikan sastera itu ialah ia boleh membantu pengarang mendidik masyarakat setelah pengarang mengetahui kegemaran dan kemahuan para pembaca, yakni jenis atau bentuk karya sastera yang mereka minati dan ingini.  Kritikan sastera juga dapat memberi keterangan kepada pengarang cara-cara hendak menyesuaikan karya sasteranya dengan pembaca. Selain daripada itu dengan ada tulisan kritikan sastera, ia boleh memberikan perangsang di samping mendidik orang ramai supaya lebih giat membaca. Tulisan kritikan sastera juga berfungsi sebagai mengahapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera dan juga kesusasteraan.[3]
          Dalam ilmu kritikan sastera, terdapat jenis-jenis kritikan. Ilmu kritikan dapat dilihat dari dua penggolongan dasar iaitu Kritikan Teori dan Kritikan Amali. Kritikan Teori ialah kritikan yang memperkatakan tentang istilah, konsep dan pelbagai masalah yang berkaitan dengan soal-soal menilai, menimbang, menafsir dan menganalisis. Manakala Kritikan Amali itu ialah kritikan yang menggunakan atau menerapkan secara langsung prinsip-prinsip teori yang diambil dari Kritikan Teori yang terberkenaan dan diaplikasikan kepada karya atau pengarang sastera.
          Kemudian dari pembahagian utama itu tadi, jenis kritikan sastera itu dapat dibahagi-bahagikan lagi. Antara jenis-jenis kritikan sastera ialah pertama Kritikan Mimetik, kedua Kritikan Pragmatis, ketiga Kritikan Ekspresif dan Kritikan Objektif.[4] Selain daripada jenis-jenis yang dikemukakan tadi, ada lagi jenis kritikan lain iaitu Kritikan Sejarah, Biografi, Sosiologi, Marxist dan Psikologi (Psikoanalisis). Jenis-jenis kritikan ini adalah berdasarkan kepada penggunaan ilmu atau disiplin ilmu lain yang digunakan dalam menilai karya-karya sastera seperti ilmu sejarah, sosiologi, psikologi, geografi, ugama dan ilmu seni yang lain.
Dalam esei ini, penulis akan hanya menggunakan pendekatan sosiologi sebagai fokus utama, bersesuaian pula dengan karya yang diambil sebagai bahan untuk dibuat penilaian serta penganalisisan. Karya yang hendak diberi penilaian ialah sebuah cerpen iaitu cerpen “Kecoh” tulisan Mussidi[5] dalam antalogi cerpen Kecoh, 1991, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

 Pendekatan Sosiologi
          Kritikan Sosiologi merupakan satu jenis pendekatan dalam kritikan sastera yang menilai karya dari aspek-aspek sosio-budaya, politik, dan ekonomi. Kesemua aspek ini adalah sebagaimana yang ada dalam realiti kehidupan dan sering kali didapati dalam karya sastera dalam dunia pengkaryaan. Pendekatan sosiologi ini melihat hubungan antara pengarang dengan masyarakat seperti kedudukannya, pengaruhnya dan status sosialnya. Selain itu, pendekatan ini juga melihat pengaruh persekitaran (budaya, politik, sosial, ekonomi atau pendidikan) terhadap diri dan penciptaan pengarang sesebuah karya. Selain itu, ia juga memperlihatkan reaksi atau peranan pembaca dan pengaruh pembaca terhadap penciptaan karya sastera.
Tulisan sastera diciptakan oleh penulis sastera untuk dimanfaatkan oleh khalayaknya (pembaca). Penulis sastera itu sendiri adalah anggota masyarakat.[6] Sastera adalah lembaga sosial yang menggunakan bahasa sebagai pengantar, media atau medium. Ini adalah kerana bahasa itu sendiri merupakan ciptaan sosial. Sastera memaparkan gambaran realiti sosial.[7]
 Literature is a social institution, using as its medium language, a social creation…The poet himself is a member of society, possessed of a specific social status: he receives some degree of social recognition and reward; he adresses an audience, however hypothetical.[8]
          Kritikan yang menggunakan pendekatan sosiologi adalah tergolong sebagai kritikan ekstrinsik;iaitu ia mengandaikan sastera sebagai cerminan kehidupan masyarakat, mendapat pengaruh dari masyarakat dan juga boleh mempengaruhi kehidupan masyarakat dan pengarang menjadi anggota masyarakat.[9]
Wellek dan Warren[10] dalam bukunya Theory of Literature , 1949 menyatakan tentang pembahagian masalah sosiologi sastera. Pembahagian yang dibuat ialah seperti sosiologi pengarang yang memasalahkan status sosial, ideologi sosial dan lain-lain yang menyangkut pengarang sebagai penghasil sastera; sosiologi karya sastera yang memasalahkan karya sastera itu sendiri, yang menjadi pokok penelitian adalah apa yang tersirat dalam karya sastera dan apa yang menjadi tujuannya.[11]
Dalam tulisan ini, penulis ingin mengambil satu karya yang di tulis oleh salah seorang cerpenis (penulis cerpen) Brunei. Cerpen yang dimaksudkan ialah cerpen “Kecoh” dalam antologi cerpen Kecoh[12] oleh Mussidi.
 Sinopsis cerpen Kecoh.
          Cerpen “Kecoh” mengisahkan tentang seorang penjual sayur (makcik tua) telah memaki-maki seorang lelaki berambut ikal kerana lelaki berambut ikal itu merasa tidak puas hati terhadap harga sayur Sawi yang terlalu tinggi yang dijual oleh makcik tua tersebut. Semasa makcik tua itu memaki-maki, dia ternampak seorang lelaki seperti pegawai. Makcik tua itu berhasrat untuk mengadu akan hal yang dialaminya itu. Namun rupa-rupanya lelaki seperti pegawai itu bukanlah seorang pegawai yang benar. Lelaki itu hanyalah berangan-angan menjadi seperti seorang pegawai.
          Makcik tua itu kemudiannya menangis kerana mengenangkan nasibnya yang begitu malang. Dia menceritakan kepada khalayak tentang ekonomi hidupnya, tempat kediamannya yang baru saja dijilat api, ekonomi negaranya dan masalah keluarganya. Setelah itu, datang pula seorang lelaki gemuk gedempol lalu menampar lelaki berambut ikal. Lelaki berambut ikal itu merasa amat bingung atas tamparan yang telah diberikan kepadanya secara percuma itu. Rupa-rupanya lelaki gemuk gedempol itu ingin menasihati lelaki berambut ikal dan seterusnya memberi ceramah kepada orang ramai agar tidak bersifat kurang ajar terhadap orang tua; padahal bukanlah niat sebenar lelaki berambut ikal itu untuk bersikap kurang ajar terhadap makcik tua itu. Lelaki gemuk gedempol telah memberi gambaran yang dahsyat tentang azab Neraka yang menyebabkan ada sesetengah pendengar merasa takut.
          Kemudian makcik tua meraung dan sekali lagi mengulang kisah hidupnya yang begitu malang. Setelah itu ada seorang pemuda terharu, lalu menangis. Orang ramai hairan kenapa pemuda tersebut menangis. Orang ramai kemudiannya menunggu apakah yang akan dilakukan oleh pemuda itu. Rupa-rupanya pemuda itu ingin meluahkan luahan perasaannya kepada makcik tua; pemuda itu mandul dan tidak dikurniakan zuriat keturunan. Lantas orang ramai juga turut menangis. Dalam hal itu, lelaki berambut ikal masih dalam kebingungan dan tidak tahu apa yang telah terjadi.
          Orang ramai meneruskan tangisan masing-masing sambil menyatakan masalah-masalah kehidupan yang dihadapi mereka. Hanya lelaki berambut ikal tidak menangis kerana masih dalam keadaan kebingungan. Kemudian didatangi pula oleh lima orang Polis, para Wartawan, Tuan Imam, Jurugambar T.V, dan para Dignitiari. Mereka hairan kenapa semua orang menangis. Lelaki berambut ikal itu ditanya oleh para Polis, Wartawan dan sebagainya tentang hal tersebut. Lelaki berambut ikal itu kemudiannya memberitahu kisah sebenar dan punca kejadian itu berlaku. Lelaki berambut ikal itu berhasrat hendak membeli dua kati sayur Sawi untuk isterinya yang mengidamkan sayur sawi namun harga Sawi yang dijual oleh makcik tua itu terlalu mahal. Akhirnya makcik tua itu terus meraung kerana dipersalahkan oleh lelaki berambut ikal dan dia menyatakan bahawa disebabkan kesempitan hidup (ekonomi hidupnya) dia terpaksa menaikkan harga sayur sawi.
          Setelah membaca dengan berulang-ulang kali dan menghayati cerpen ini, penulis dapat melihat tema bagi cerpen ini ialah tentang masalah ekonomi dan sosial yang melanda masyarakat kita dewasa kini. Walaupun cerpen ini hanya merupakan sebuah cerita pendek, namun di dalamnya terdapat banyak pengajaran kepada masyarakat. Melalui gambaran-gambaran yang dilukiskan oleh pengarang, penulis mendapati walaupun pengarang cerpen ini hanya menggambarkan setiap masalah sosial dan ekonomi secara umum; bukan secara detel sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah novel, namun jika dihayati, dianalisis, didalami dan difahami maksud-maksud yang tertentu (simbolisme), kita akan dapat melihat gambaran masyarakat kita hari ini. Ini adalah kerana Mussidi mengemukakan perkara-perkara yang realiti terjadi dalam kehidupan disebalik menonjolkan unsur-unsur simbolik.
Sebenarnya kritikan sosiologi tidak semestinya bersifat ekstrinsik atau eksternal dan sempit. Walaupun yang demikian, berdasarkan kritikan yang akan dikemukakan/dibincangkan ini, penulis akan hanya memfokuskan kepada pendekatan sosiologi dalam kritikan ekstrinsik.

Sosiologi Dalam Kritikan Ekstrinsik.
          Berdasarkan pendekatan sosiologi, kritikan ekstrinsik dapat membincangkan pelbagai hal seperti hubungan karya sastera dengan penulis, faktor-faktor yang mempengaruhi atau mendorong penulis menghasilkan karya sastera, fungsi sosial sastera yang berhubung kait dengan tema, sastera sebagai cermin masyarakat dan budaya, kesan sesebuah karya kepada khalayak pembaca dan sebagainya. Untuk mendalami kritikan jenis ini, penulis hanya menumpukan kepada satu-satu aspek sahaja. Antara aspek-aspek yang ingin dibincangkan adalah, aspek gambaran masyarakat yang dilukiskan di dalam cerpen “Kecoh” beserta fungsi-fungsi yang dapat diambil dalam gambaran tersebut. Salah satu fungsi yang tergambar dalam cerpen kecoh ini ialah pembentukan moral dan kesedaran dalam kehidupan berdasarkan temanya iaitu masalah ekonomi dan sosial.
          Bagaimana cerpen “Kecoh” ini mampu membentuk moral dan kesedaran masyarakat terhadap kehidupan? mungkin saja dari tema yang dibawakan atau pengajaran-pengajaran yang dikemukakan. Dari tema yang boleh dimengerti dari pemahaman penulis terhadap cerpen “Kecoh” ini, pengarangnya iaitu Mussidi setentunya menyedari tentang sesuatu yang sedang berlaku di dalam masyarakatnya yang menurutnya seharusnya tidak berlaku. Ini terbukti berdasarkan karya-karya yang dihasilkannya seperti terdapat gambaran-gambaran masyarakat beserta dengan fungsi-fungsi yang dapat dilihat berdasarkan cerpen Kecoh. Antara fungsi-fungsi yang dapat dilihat ialah berdasarkan gambaran yang dilukiskan pengarang seperti memaparkan masalah ekonomi dan sosial seperti, penindasan, cara pembelajaran yang salah, ketidak puasan hati dalam kehidupan, tidak memiliki sifat sabar, tidak ikhlas dalam melakukan pekerjaan, sikap malas masyarakat yang menjadi-jadi, maksiat yang berleluasa, rasuah yang semakin subur, prasangka buruk terhadap masyarakat dan sebagainya. Selain daripada itu terdapat juga gambaran masyarakat yang perlu diikuti seperti ketabaahan, sikap kepekaan sesama masyarakat sekeliling, memiliki sikap mencintai seseorang dengan sebenar-benarnya, dan banyak lagi.
          Tema bagi cerpen “Kecoh” ini ialah tentang masalah ekonomi dan sosial. Apa yang termasuk dalam masalah sosial itu? Dalam buku Social Problems, 1989 menyatakan “we can readily identify drug abuse, crime, poverty and juvenile deliquency as some of our society’s most pressing problems.”[13] Selain daripada itu, berdasarkan cerpen Kecoh ini, kita dapat melihat beberapa masalah sosial yang melanda masyarakat kita dewasa ini umpamanya penindasan, ketidak puasan hati dengan apa yang ada dalam kehidupan, sistem pengajaran yang tidak efisien, tidak memiliki sifat sabar, maksiat yang berleluasa, prasangka buruk terhadap masyarakat dan memiliki sifat tidak ikhlas didalam melakukan sebarang pekerjaan.

 Penindasan dan Diskriminasi
Terdapat gambaran penindasan di dalam cerpen “Kecoh” ini iaitu ternyata penulis cerpen ini ingin membela nasib orang bawahan atau masyarakat yang berpendapatan rendah (primitif) yang bukan saja berlaku dalam masyarakatnya malah yang juga berdrama dalam masyarakat lain. Dalam masyarakat terdapat berlainan golongan seperti golongan atasan dan golongan bawahan. Oleh itu pengarang ingin membela nasib golongan bawahan yang mengahadapi masalah dikriminasi. “Discrimination is “the differential treatment of individuals considered to belong to a particular social group”. (Willian Kornblum, 1989:260)
Sebagai contoh,  kurangnya bantuan yang diberikan kepada orang yang susah dan kurangnya kepekaan terhadap golongan bawahan apatah lagi ketika mereka dilanda malapetaka dan kegawatan ekonomi. Sebagai contoh konteks di bawah:
 Kata makcik tua, siapakah yang akan membela nasib orang-orang sepertinya. Dua bulan lalu rumahnya terbakar-bantuan tidak juga ada. Kalau ada pun cuma sedikit dan tidak mencukupi. Apa sudah jadi dengan masyarakat?
(Mussidi, 1991:38)
 Ketidakpuas-hatian
Seharusnya kita mestilah bersyukur kepada Ilahi terhadap apa yang dikurniakan-Nya. Kita sebagai manusia yang lemah haruslah bersyukur dengan apa yang ada dan redha atas segala pemberian-Nya. Dalam cerpen “Kecoh” terdapat gambaran sikap ketidak puasan hati dalam kehidupan, umpamanya orang ramai yang meraung dan mengadu sesama sendiri atas fenomena kesempitan hidup yang dihadapi dan dialami mereka.
 Raungan orang ramai kian menjadi-jadi. Mereka mengadu sesama sendiri akan kesempitan hidup mereka. Berlumba-lumba, atas mengatasi dalam menyatakan ketidakpuasan hati mereka tentang hidup di dunia ini.
(Mussidi, 1991:43)
 Sistem pengajaran yang tidak Efisien
Selain daripada itu terdapat juga gambaran yang dilukiskan oleh pengarang tentang sistem pendidikan. Mungkin pengarang ingin mengkritik sistem pendidikan dizamanya ataupun masa kini. Sistem pendidikan seharusnyalah memiliki misi dan visi yang mampu melahirkan anak bangsa yang berkualiti, bukannya mengajar anak bangsa dengan sambil lewa sahaja. Dalam cerpen “Kecoh” ini juga terdapat gambaran sedemikian.
..;Seorang penuntut marah-marah kerana guru-guru di sekolahnya tolol-tolol belaka dan dia kena buang sekolah kerana tidak juga lulus-lulus periksa;
(Mussidi, 1991:43).
..;Seorang guru menggerutu tentang murid-muridnya yang tidak tau mengira, tidak lancar membaca sedangkan mereka sudah berada di dalam tingkatan III;
(Mussidi, 1991:44)
 Dari konteks-konteks di atas, bukan sahaja pihak pengajar yang harus dipersalahkan secara total. Namun mungkin pengarang ingin mengkritik para pelajar sendiri yang memiliki sikap malas yang menjadi-jadi dalam menuntut ilmu. Para pelajar harus sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan itu dalam kehidupan. Sikap malas mestilah dihapuskan kerana sifat itulah yang akan merosakkan impian dan juga hasrat negara bangsa yang pastinya menginginkan rakyat yang berilmu.
Kurangnya sikap sabar
Dalam kehidupan kita ini, walau apapun yang ditempuhi atau rintangan yang dihadapi, kita haruslah bersabar. Kita haruslah sentiasa menanamkan sifat sabar kerana sabar itu adalah sebahagian daripada iman. Dengan adanya sifat sabar dalam menghadapi liku-liku hidup, sudah pasti hidup kita akan sentiasa tenang, bermakna dan sebagainya. Sepertimana yang kita lihat pada masa ini, ramai di kalangan masyarakat kita tidak menanamkan sifat sabar di dalam urusan kehidupan mereka. Malah ramai yang suka bergegas-gegas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Mungkin Mussidi sering melihat masyarakat yang seperti ini lalu dirakamkannya di dalam cerpennya ini. Dalam cerpen “Kecoh” ini, terdapat gambaran-gambaran masyarakat yang tidak memiliki kesabaran seperti orang ramai tidak sabar untuk menunggu pemuda yang mengahampiri makcik tua kerana hendak mengadu bahawa dia adalah seorang yang mandul.
 Dia tidak pernah seumur hidupnya sebelum itu, menghadapi masalah seperti itu. Dia menyumpah-nyumpah diri sendiri: mengapa dia turut campur dan sengaja mencari masalah? Dia memandang orang ramai. Mereka sudah seperti kehilangan sabar (panas itu panas) untuk tahu apa yang hendak dilakukannya seterusnya.
(Mussidi, 1991:40).
 Selain daripada gambaran ketidaksabaran sebilangan masyarakat, pengarang juga ada menggambarkan sesetengah masyarakat yang mempunyai hati yang tabah walaupun di dalam kesusahan seperti mana yang telah digambarkan melalui seorang penjual Terung. Ini adalah kerana si penjual Terung itu tidak suka akan membazirkan masa. Jelas kepada kita juga bahawa pengarang memberikan unsur dakwah kepada khalayak pembacanya agar tidak membuang masa kerana masa itu amat berharga dalam kehidupan kita. Kita harus bijak memanfaatkan masa walau dalam keadaan macamana sekalipun.
 Seorang penjual terung yang tidak suka membuang masa, memekik-mekik harga terungnya sambil meratap-ratap:
“Terung! Terung! Sepuluh ringgit sekati! Terung!Terung! Sepuluh ringgit sekati! Beli banyak-banyak hari ini! Besok harga terung akan naik dua puluh ringgit sekati!”
(Mussidi, 1991:45).
 Disebalik ketabahan hati yang ada pada penjual Terung itu, pengarang juga ingin mengkritik sebahagian peniaga-peniaga yang ingin saja mengambil peluang dalam kesempitan dan ini adalah merupakan satu taktik dalam perniagaan. Ini ternyata dalam perkataan “Beli banyak-banyak hari ini!”. Ini merupakan satu cara dalam perniagaan atau apa yang difahami sebagai retorik bahasa perniagaan. Cara mempengaruhi pembeli juga digambarkan seperti dalam konteks “Besok harga terung akan naik dua puluh ringgit sekati!”.
 Maksiat berleluasa
Berdasarkan tema persoalan bagi cerpen “Kecoh” ini, ternyata pengarang banyak mengemukakan dan mengambarkan secara ringkas tentang masalah sosial yang melanda dewasa kini. Mungkin saja pengarang ingin memberi nasihat kepada pembaca sebagai satu dakwah agar pekara-perkara maksiat ini mestilah dijauhi kerana ia akan mendatangkan akibat-akibat buruk seperti jika masyarakat itu bebas dalam kehidupan dan tidak punya pendidikan ugama yang kukuh, masyarakat akan mudah terjerumus kelembah maksiat. Berdasarkan realiti, kita dapati semakin banyak kes-kes maksiat yang berlaku seperti meningkatnya kes-kes pembuangan anak, rogol, perjudian dan sebagainya. Dalam cerpen “Kecoh”, pengarang ada melukiskan beberapa gambaran kes-kes gejala sosial yang berlaku dikalangan masyarakat.
 ….:seorang ibu mengadu tentang anak daranya yang sudah tidak dara lagi; seorang lagi mengadu tentang anak tunggalnya yang durhaka tapi tidak mau jadi batu meskipun bibirnya sudah jenuh menyumpah-nyumpah; seorang mentua tersedu-sedan kerana malu mendapat seorang cucu di luar nikah.
(Mussidi, 1991:43).
…..; seorang ibu menangis kerana anak gadisnya mati akibat mengugurkan anak; seorang bapak mengadu tentang anaknya yang menagih dadah; seorang anak menyatakan kesakitan hatinya kerana dia jadi sasaran ejekan kerana bapaknya makan rasuah.
(Mussidi, 1991:43).
….; seorang gadis remaja genit mengadu bahawa dia pernah kena rogol….;seorang isteri teresak-esak kerana suaminya pemabuk dan kaki judi.
(Mussidi, 1991:44).
 Dari konteks-konteks di atas, ternyata pengarang menggambarkan keadaan masyarakat yang terjerumus kelembah maksiat dan akibat daripada maksiat yang dilakukan itu.
 Prasangka
Dalam membuat sesuatu tuduhan atau keputusan, kita mestilah menyertakan bukti yang kukuh terhadap seseorang yang hendak dituduh (sekurang-kurangnya membawa tiga orang saksi). Ini adalah masalah prasangka yang sering kali berlaku dalam masyarakat kita. Dengan adanya sifat tanggungjawab pengarang terhadap masyarakat, pengarang tidak menginginkan kejadian prasangka ini berlaku. Pengarang mengetahui akibat daripada tuduhan tanpa bukti atau usul periksa.
 “Prasangka adalah satu sikap yang dirasai tanpa penyelidikan yang cukup mengenai fakta-faktanya. Ini adalah sikap mengadili sesuatu sebelum mengetahui, atau bebas daripada fakta-fakta yang berkenaan dengan sesuatu perkara.”
(Joseph S.Roucek & Roland L. Warren, 1979:155)
 Dalam cerpen “Kecoh”, pengarang ada menggambarkan sedikit tentang prasangka; iaitu sepertimana yang dilakukan oleh lelaki gemuk gedempol ke atas lelaki berambut ikal. Dia terus saja menampar lelaki berambut ikal dan seolah-olah dia menuduh lelaki berambut ikal tidak mempunyai sikap perikemanusiaan. Dia menyangka bahawa lelaki berambut ikal itu bersikap kurang ajar terhadap makcik tua sedangkan apa yang dilakukan oleh lelaki berambut ikal itu adalah merupakan suatu hak pembeli untuk menyatakan atau memberi pandangan terhadap barang yang hendak dibelinya.
Seorang lelaki gemuk gedempol dan berjambang menghampirinya. Tanpa banyak bicara terus menghadiahkannya dengan satu tamparan kencang di pipi sebelah kanan.
“Di mana kauletak perikemanusiaanmu hah? Di kepala lutut? Mengapa disakiti hati perempuan tua hah?” sergah lelaki gemuk gedempol.
(Mussidi, 1991:39).
Tidak memiliki sifat ikhlas dalam melakukan sebarang pekerjaan
Selain daripada perkara-perkara masalah sosial yang dinyatakan di atas, pengarang ada juga melukiskan gambaran masyarakat yang tidak mempunyai keikhlasan dalam melakukan sebarang pekerjaan. Ini juga merupakan satu dakwah dan nasihat kepada masyarakat agar sentiasa menanamkan sifat ikhlas dan melakukan sesuatu kerana Allah. Dengan adanya keikhlasan, kehidupan masyarakat akan sentiasa diberkati oleh Allah subahanahu wa taala. Mungkin pengarang banyak melihat dari kalangan masyarakat hari ini tidak mempunyai keikhlasan dalam melakukan sebarang tugas atau pekerjaan. Justeru pengarang menggambarkannya dalam cerpen kecoh ini. Sebenarnya ini juga adalah salah satu masalah sosial yang ada di dalam masyarakat kita.
Mereka terpaksa menunggu.
Mereka benci menunggu lama-lama. Mereka merungut-rungut masa mereka sudah terbuang. Seluruh hidup mereka telah pun diisi dengan penungguan-penungguan: menunggu bas yang lambat datang; menunggu gaji dinaikkan; menunggu kedatangan kekasih; menunggu di lapangan terbang; menuggu keputusan temuduga kerja; menunggu kedatangan suami yang mesyuarat; menunggu mendapat giliran rawatan di klinik gigi; menunggu dokumen-dokumen penting untuk ditandatangani; menunggu janji-janji yang sentiasa ditangguh-tangguhkan; menunggu di tandas awam; menuggu tayangan iklan di tv habis…
Memanglah pada hakikat kehidupan, setiap pekerjaan itu memang ada proses-proses yang tertentu yang mengakibatkan untuk dinanti. Namun apa yang penting disebalik kita menunggu kita mestilah sentiasa dalam keadaan ikhlas, bukan dalam keadaan terpaksa. Ini adalah merupakan satu wadah bagi pengarang untuk memperlihatkan kepada pembaca agar para pembaca mengetahui akan liku-liku kehidupan dan para pembaca haruslah bersabar dan ikhlas dalam mengahadapi kesemua pekerjaan di dalam kehidupan ini. Antara lain gambaran yang dilukiskan oleh pengarang dalam cerpen “Kecoh” ini ialah seperti sikap keterpaksaan suami demi merealisasikan hajat isterinya iaitu keterpaksaan lelaki berambut ikal membeli sayur Sawi kerana isterinya mengidam. Namun dari sudut yang lain, ia juga menggambarkan cinta sejati yang dimiliki oleh lelaki berambut ikal tersebut. Dia sanggup melakukan apa saja demi permintaan isterinya walaupun harga sayur Sawi terlalu mahal.
“Tapi saya terpaksa beli juga kerana isteri saya hamil dan mengidam sangat akan sayur sawi.” Sambung lelaki berambut ikal.” Saya sangat cinta pada isteri saya.”
(Mussidi, 1991:47).

No comments:

Post a Comment